Pecah Dan Perintah - Warisan Empayar British

Umno 'ajaran sesat'?

Oleh : Arifin Mahmud (Harakahdaily)

Sebenarnya, kerajaan sudah boleh membuat keputusan sama ada mahu membenarkan Chin Peng pulang ke Malaysia atau tidak tanpa perlu merujuk kepada rakyat kita.

Mungkin tiada suatu peraturan pun atau prosedur yang menetapkan bahawa sesebuah negara itu perlukan sokongan majoriti rakyat untuk menerima seseorang kembali menjadi warganegara di negara berkenaan.

Ringkasnya, penguasa boleh saja menyatakan tidak ke atas pulangnya Chin Peng dan kita tidak perlu lagi berbalah mengenai hal tersebut.

Tapi, memang sengaja hal komunis ini dikembangkan sebagai wacana baru besar-besaran di media, forum seolah-olahnya ia suatu wabak baru yang mengancam kita; mengalahkan masalah ancaman selsema babi yang melanda negara baru-baru ini.

Kerajaan boleh terus menyatakan tidak kepada usaha mengembalikan Chin Peng dan hal itu terus didiamkan sahaja. Tapi, kenapa ia dipanjangkan ke dalam media?

Umno pun tahu bahawa akan ada kalangan rakyat yang bersedia dengan kembalinya Chin Peng dan ada yang tak bersetuju. Dengan sebab itu, rakyat kita akan kembali dipecahkan dengan menimbulkan isu ini.

Apabila rakyat dipecah-pecahkan, semangat kekitaan dikoyak-rabakkan, maka senanglah Umno meneruskan penjajahannya apabila ikatan perpaduan sesama rakyat musnah.

Matlamat Umno memecahbelahkan ikatan

Itu saja matlamat Umno menimbulkan isu-isu. Bukan ikhlas, tetapi untuk pecahbelahkan umat. Sebab itu Umno takut debat. Debat itu akan menyebabkan tembelang Umno pecah.

Bukti mudah, Najib menolak debat bersama Mursyidul Am Pas dengan 'memperalatkan' kedua-dua mantan PM sebelum ini, Dr. Mahathir dan Abdullah Ahmad Badawi.

Najib tidak akan berani mengeluarkan kenyataannya sendiri. Yang tersiar adalah gambar dia sedang mengangkat telefon, kononnya sedang menerima panggilan Presiden Obama yang berunding dengannya berhubung usaha membebaskan tahanan Guantanamo.

Kembali kepada isu komunis misalnya, bukan tiada fakta yang menunjukkan bahawa hal pegangan seseorang itu bukanlah penyebab kepada seseorang itu tidak layak memohon menjadi warganegara di negara ini.

Contohnya, ketika mantan ketua pengarang Utusan Melayu Said Zahari dibawa semula masuk ke Malaysia ketika Dr Mahathir mula menjadi PM dahulu.

Dr. Mahathir saat itu telah membatalkan larangan yang dikenakan ke atasnya yang pernah dilarang memasuki Malaysia suatu masa dahulu oleh Tunku Abdul Rahman.

Larangan Tunku itu tak pernah dibatalkan ayah Najib, Tun Abdul Razak dan Tun Husein Onn, bapa kepada Hishammuddin sendiri. Hanya Mahathir yang membatalkan terus, lalu Said Zahari yang pro-Sosialis dan perjuangan berhaluan itu akhirnya boleh diterima.

Tiada pula heboh-heboh di media dan tiada pula diangkat sebagai tajuk wacana, forum-forum untuk memecah-belahkan rakyat.

'Ajaran Sesat' Umno?

Ayah Pin didakwa mempunyai kerajaan di langit. Ini simbolik kepada kuasa, pengaruh dan inilah yang menyebabkan parti pemerintah, penguasa Umno berhati-hati dan berjaga-jaga. Jika ajaran sesat itu tidak bermotif politik dan kuasa, Umno tak peduli sangat.

Umno menyesatkan pemikiran rakyat dengan kurikulum Sejarah sejak merdeka mungkin. Hampir semua kisah perjuangan kemerdekaan ini Umno yang memonopolinya. Kita tidak lagi peduli tentang bagaimana Sosialis berjuang menentang Neo-Kolonialisme.

Mari mengkaji kesesatan pemikiran Umno sehingga memaksa rakyat meraba-raba dalam kegelapan. Ambil kes Henry Gurney sebagai contoh.

Media yang ditunggang Umno melaporkan kemuncak pembunuhan Henry Gurney adalah kemuncak kepada kekejaman pengganas komunis.

Umno sepertinya terlupa bahawa Henry Gurney adalah penjajah. Penjajah British. Di sini penjajah tentu seorang pengganas. Komunis dianggap pengganas, tapi komunis bukannya penjajah. Di sini, kita kena ingat, siapakah yang lebih merbahaya?

Penjajah tentunya pengganas, tetapi pengganas tak semestinya penjajah. Sekali lagi, siapa yang lebih merbahaya?

Sesuai dengan namanya yang bersifat penjajah dan pengganas, negara kita mengabadikan nama Henry Gurney kepada sekolah jahat. Henry Gurney Prisoners School atau Sekolah Tahanan Henry Gurney adalah sekolah penjara di Melaka.

Henry Gurney, pegawai Empayar British dari Palestin?

Siapa Henry Gurney? Kitab sejarah sekolah tidak menjelaskan siapa beliau. Sebelum dia datang ke Malaya, dari manakah dia datang? Umno tidak menjelaskan semuanya.

Menurut laporan, daripada 1944 sehingga 1946, beliau adalah Chief Secretary kepada kerajaan mandat Palestin. Selepas 1946, beliau dibawa ke Malaya sehingga 1948.

Jasa Henry Gurney agak besar dan cemerlang di Palestin. Ketika inilah wilayah Palestin mula diancam penceroboh Yahudi, Zionis sedikit demi sedikit. Atas sebab itu, kita patut mengenal siapakah sebenarnya Henry Gurney ini ketika Umno menyesatkan kita.

Berdasarkan rekod-rekod cemerlangnya dalam membantu Zionis melebarkan pengaruh penjajahan di Palestin itu, maka pada 1951, Henry Gurney telah ditembak mati dalam perjalanan pulang ke Bukit Fraser.

Tapi, mungkin pihak komunis bukan membunuh Henry Gurney di atas wataknya sebagai pihak British yang membantu Zionis dalam penjajahan ke atas Muslim di Palestin.

Komunis membunuhnya kerana dia adalah wakil penjajah British yang ingin meluaskan taklukan empayar British ke atas Malaya.

Justeru, Umno dengan kesesatannya telah kesampingkan watak Henry Gurney ini sebagai penjajah Muslim di Palestin. Tuhan telah gerakkan komunis untuk membunuh musuh kita sendiri yang telah memusnahkan Palestin.

Maka setidak-tidaknya kita kena tahu bahawa Henry Gurney adalah perancang keganasan dan arkitek penjajahan yang jauh lebih hebat cengkamannya ke atas kemanusiaan.

Betapa 'mulianya' Henry Gurney ini dalam pandangan kita sehingga selepas kematiannya, namanya dan penjajah British telah diangkat sebagai wira yang menyelamatkan daripada pengganas komunis, sedangkan British adalah pengganas dan penjajah di Palestin.

Itu antara kisah kesesatan Umno dan 'ajaran sesat' parti itu dalam menenggelamkan watak gelap penjajah British hingga menampilkan yang indah-indah saja tentang British.

Kesesatan Umno; terjebak amalan sihir?

Satu lagi masalah yang melingkari Umno ialah kebanyakan para pendokongnya ada yang telah menggunakan khidmat, pawang, bomoh dan dukun untuk mengejar kekuasaan.

Menjelang pemilihan perhimpunan agung parti itu termasuklah ketika pilihan raya umum sedang berlangsung, akan ada saja rumah-rumah pawang dan dukun dikunjungi.

Daripada maklumat-maklumat orang-ramai, kerap juga kita dengar bahawa ajaran sesat Ayah Pin misalnya terkait dengan sihir sehingga menyebabkan ramai yang terpedaya.

Ilmu sihir jelas bertentangan dengan ajaran agama biarpun Najib membangunkan institusi Islam seperti Baitul Mal dan Abdullah melayangkan idea Islam Hadhari sebelum ini.

Pendek kata, idea penubuhan Baitul Mal dan segala agensi Islam tidak membatalkan dosa beramal dengan ilmu hitam dan sihir. Ini pun, sebahagian ciri-ciri ajaran sesat.

Dalam sebuah klip video YouTube ada ditunjukkan dakwaan terhadap isteri Najib yang kononnya telah mengguna khidmat pawang, bomoh dan dukun sebelum menikahi Najib dan selepas menikahinya. Najib dan Rosmah wajib membersihkan nama mereka.

Barangkali, tiada jalan lain untuk menutup semua ini melainkan dengan cara memberikan kesibukan ke atas fikiran rakyat dengan isu Kerajaan Perpaduan, isu sama ada Chin Peng wajar dibawa ke Malaysia atau pun tidak, termasuklah isu-isu remeh lain.

Di dalam YouTube, anda cuma perlu menaip Rosmah puaka dan tontonlah dakwaan yang terkait dengan isteri Perdana Menteri itu.

Jangan-jangan apakah ini antara sebab kenapa Perdana Menteri enggan berdebat bersama Mursyidul Am Pas tersebut? Wallahu'alam ...

Untung Sabut Timbul, Untung Batu Tenggelam

Antara British, Jepun & PKM


BRITISH

British telah menjajah Tanah Melayu ratusan tahun.

Segala kekayaan negara telah dipunggah.

Rakyat dipaksa menerima peraturan dan undang-undang imperialisme mereka.

Rakyat yang menentang dianggap penderhaka lantas ditangkap, dipenjara, dibuang negeri dan dibunuh.

Tok Janggut mati dibunuh. Mayatnya digantung terbalik dan dikelar.

Tok Guru Abdul Rahman Limbong dibuang negeri, kononnya ke Mekah untuk mengelak tindak balas yang lebih dahsyat.

Ramai lagi, antaranya Tok Gajah, Datok Bahaman, Mat Kilau, Abdullah Jurukaka dan lain-lain.

Burhanuddin Al-Helmy turut ke penjara.

Ahmad Boestamam, Pak Sako turut dipenjarakan.

Tapi undang-undang British (Lord Reid) digunakan sebagai asas Perlembagaan Negara.

British diagung dan diampu walaupun British tidak pernah membayar satu sen pun kepada rakyat Tanah Melayu (Malaysia) atas penderitaan akibat penjajahan mereka.

Bahkan kita berbangga dengan hubungan diplomatik yang kukuh dengan mereka.

Jenazah Tok Janggut

JEPUN

Jepun menjajah Tanah Melayu hanya beberapa tahun.

Namun kesengsaraan yang dideritai oleh rakyat tidak terbayang oleh akal.

Berapa ramai yang dipancung kepala.

Berapa ramai yang kebuluran.

Berapa ramai yang terpaksa menyambung nyawa dengan ubi kayu dan ubi gadung.

Tidak terkira berapa ramai yang mati akibat paksaan membina landasan keretapi maut.

Sehingga ini satu sen pun Jepun tidak bayar kepada rakyat Tanah Melayu (Malaysia) atas penderitaan tersebut.

Namun Jepun diagung-agungkan.

Dasar Pandang Ke Timur diperkenalkan.

Kita berbangga dengan hubungan dagang dan diplomatik dengan mereka.

PKM - Rejimen Ke-10

PKM khususnya Rejimen Ke-10 yang dianggotai sepenuhnya oleh orang Melayu berhempas pulas berjuang melawan penjajah British dan Jepun.

Kadang-kadang terpaksa membunuh bangsa dan saudara sendiri yang berkhidmat sebagai askar dan polis penjajah.

Sejarah perjuangan mereka dihilangkan daripada silibus Sejarah di bangku sekolah.

Mereka dimomokkan sebagai pengganas.

Sehingga hari ini persepsi ini tidak berubah.

* Hari ini di sekolah, Sejarah diajarkan begini : "Umno-lah yang...itu", "Umno-lah yang...ini", "Umno-lah yang...Umno-lah yang...Umno-lah yang..." sampai hari kiamat.

UNTUNG SABUT TIMBUL, UNTUNG BATU TENGGELAM...

Begitulah ragam dunia...

Beruntunglah engkau wahai British...

Bertuahlah engkau wahai si pendek Nippon...

Malanglah engkau wahai pejuang Rejimen Ke-10...

...kerana PEMENANG YANG MENULIS SEJARAH!

(puteragunungtebu)

Sosialis Lawan Kapitalis

Artikel : Hishamuddin Rais (Tukar Tiub)
Berkaitan Kapitalis : Sicko - Michael Moore

INI SIFAT KAPITALIS

HATI-HATI TAWARAN PAKEJ UMRAH – MATTA - Utusan Meloya

KUALA LUMPUR, 23 Jun - Satu kegiatan penipuan pakej umrah dikesan sedang berlaku di negara ini dengan memperdayakan bakal peserta umrah terutama dari kawasan luar bandar dengan tawaran pakej umrah semurah RM3,500 serta bayarannya boleh dibuat secara ansuran.

Sambil menyifatkan pakej yang ditawarkan itu sebagai tidak masuk akal, Timbalan Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Mohd Khalid Harun berkata, kos serendah itu tidak mencukupi untuk menampung segala perbelanjaan bagi mengerjakan ibadah tersebut.

Mohd. Khalid menjelaskan, bahawa kos semasa pengendalian pakej umrah sepatutnya berharga antara RM5,000 dan RM6,000, merangkumi tiket kapalterbang, pengangkutan dan penginapan jemaah sepanjang berada di Tanah Suci.

SISTEM EKONOMI KAPITALIS

Inilah sifat asli Kapitalis. Inilah sifat kaum pemodal Kapitalis. Dalam sistem ekonomi Kapitalisma tujuan utama ialah untung.

Kapitalisma adalah sistem ekonomi yang tujuan asasnya mencari untung. Ini hakikat. Tidak perlu berdolak-dalik.

Kaum Kapitalis akan melakukan apa sahaja asalkan dapat untung.
  • Dalam sistem Kapitalis – apa yang boleh dijual akan dijual. Asalkan ada untung.
  • Dalam sistem Kapitalis – apa yang boleh dibeli akan dibeli. Asalkan ada untung.
  • Dalam sistem Kapitalis – agama, ibu, ayah, anak – semua boleh di jual – jika mendapat untung.
Kapitalisma adalah sistem ekonomi yang tidak mengira agama, bangsa atau wilayah.

Sistem Kapitalis bersifat Universal – melintasi benua, daerah dan wilayah.

SISTEM EKONOMI SOSIALIS

Sistem ekonomi Sosialis ini berbeza dari sistem kapitalis.
  • Dalam sistem ekonomi Sosialis yang diutamakan bukan untung tetapi perkhidmatan.
  • Dalam sistem ekonomi Sosialis yang diutamakan ialah kebaikan ramai bukan keuntungan peribadi.
  • Dalam sistem ekonomi Sosialis pembangunan dilakukan bukan kerana ianya boleh mendapat untung – pembangunan dilakukan kerana ianya membawa manfaat untuk orang ramai.
  • Dalam sistem Sosialis - hospital percuma – kerana ianya baik untuk menjaga kesihatan semua warga. Hospital bukan untuk membuat untung tetapi memberi khidmat. Khidmat terbaik diberi bukan kerana si sakit kaya tetapi pesakit memerlukan khidmat itu.
  • Dalam sistem Sosialis pembelajaran – sekolah/universiti – diberi percuma kerana ianya akan melahirkan warga yang berilmu. Ini pelaburan yang dananya dikeluarkan dari kantung negara. Pembelajaran bukan perniagaan. Pembelajaran ialah untuk mendidik warga berilmu. Warga yang berilmu akan berbudi dan berbahasa. Warga yang berilmu tidak membawa porak-peranda.
  • Dalam sistem Sosialis perumahan didirikan untuk semua. Membuat rumah kediaman bukan untuk mencari laba tetapi untuk memberi keselesaan kepada penduduk. Kenapa yang kaya perlu 4 bilik dan yang miskin duduk berhimpit-himpit?
Kalau dalam sistem ekonomi Sosialis syarikat kapalterbang adalah milik negara. Harga tiket ke umrah atau ke mana sahaja akan dijual semurah mungkin. Bukan bermakna penjualan tiket kapalterbang akan merugikan tetapi niatnya BUKAN untuk keuntungan maksima.

Untung yang didapati bukan akan masuk ke dalam poket individu pemegang saham. Dalam ekonomi Sosialis pemegang saham ialah semua warga. Bottom Line Sosialis bukan ringgit dan sen. Bottom Line Sosialis ialah khidmat untuk orang ramai.

Nota :

Mereka yang menentang sistem Sosialis kerana mereka tahu dalam sistem ini mereka tidak dapat melabur modal untuk memeras dan menindas kaum buruh.

Negara Sosialis selalu diserang kerana kaum Kapitalis tidak dapat membuat untung dan merompak harta kekayaan.

Negara Sosialis diserang kerana punca-punca ekonomi negara - minyak, bijih, sawit, emas, besi dan segala hasil bumi - tidak boleh dimiliki oleh Exxon, General Motors, IBM, Chevron, ITT, Douglas McDonald, City Bank atau HSBC.

Memang betul dan sahih di Cuba tidak ada MacDogal. Betul di Cuba tidak ada KFC. Betul di Cuba tidak ada Coca-Cola.

Tetapi di Cuba – ada sistem perubatan awam yang terbaik dalam dunia. Ianya diberi percuma untuk semua warga.

Di Cuba ada sistem pembelajaran yang terbaik di dunia. Sekolah perubatan Cuba memberi kuliah percuma untuk pelajar dari negara-negara dunia ketiga termasuk dari Amerika.

Di Cuba ada sekolah sukan yang terbaik. Negara kecil yang penduduknya berjumlah 11,451,652 ini saban kali di Sukan Olimpik akan menggondol berpuluh pingat emas – lebih dari India yang rakyatnya 1 billion atau Saudi Arabia yang dikatakan kaya-raya.

Fakta :

Paling menyedihkan ada golongan yang menentang sistem Sosialis ini bukan dari kaum Kapitalis yang kaya-raya tetapi dari mereka yang miskin papa-kedana. Mereka ini diberi ajaran dan ditakut-takutkan bahawa kaum Sosialis ini tidak bertuhan.

Ini adalah hasil dari sistem pembelajaran Kapitalis yang telah membuatkan orang-orang ini bebal – tidak dapat berfikir. Dalam sistem Kapitalis amat-amat diperlukan orang-orang bebal lagi bodoh agar mereka boleh terus menjadi buruh dan hamba tanpa memiliki ketinggian fikrah dan keupayaan intelek.

Sistem Kapitalis ingin melahirkan kaum buruh yang setia, tidak berfikir dan tidak dibenarkan berpersatuan. Dalam sistem Sosialis kesatuan buruh adalah rukun pertama.

Dalam sistem Sosialis pembelajaran percuma tidak memungkinkan lahirnya orang–orang bebal. Kebebalan adalah musuh utama Sosialisma. Kebebalan dan kebodohan akan dilawan hingga ke akar umbi.

Dalam sistem Sosialis tidak akan timbul isu PPSMI - kerana dari segi keilmuan telah diketahui bahawa untuk mengajar satu-satu bahasa BUKAN melalui Matematik dan Sains tetapi melalui Sastera.

Hanya dalam sistem Kapitalis wujudnya manusia bebal yang mencadangkan cara mempelajari satu-satu bahasa adalah melalui Matematik dan Sains.

Hidup jangan jadi bebal. Fikirkan siapa yang tidak percaya kepada Yang Maha Esa - kaum Sosialis atau Kapitalis yang menjual gambar Kaabah? (TT)

Ada Apa Dengan Iran?

IRAN - SATU PANDANGAN

Artikel : Hishamuddin Rais (Tukar Tiub)

APA DIA YANG SEDANG BERLAKU DI IRAN SEKARANG?

Adalah salah kalau kita mengatakan bahawa tunjukan perasaan di Tehran dan kota-kota lain di Iran sebagai protes hanya tentang pilihanraya sahaja.

Hakikatnya Mahmoud Ahmadinejad telah menang.

Adalah juga salah untuk mengatakan bahawa tunjukan perasaan ini antara golongan liberal yang menentang golongan konservatif/kolot. Hakikatnya kedua-dua kumpulan yang sedang bertelagah sama-sama mewakili theocracy yang kolot.

Mir Hossein Mousavi sebelum ini pernah menjadi Perdana Menteri dari 31 Oktober 1981 hingga 3 Ogos 1989. Kemudian jawatan Perdana Menteri ini telah dilupuskan.

Memang betul Amerika Syarikat semenjak dari zaman George W. Bush telah menganjurkan dan mengeluarkan dana untuk membuat kerja-kerja jahat terhadap Iran. Amerika telah menyokong kumpulan-kumpulan dan parti politik yang menentang kerajaan di Tehran. Ini memang tugas kuasa imperial Amerika.

Tetapi Mousavi dan Ahamadinejad TIDAK pro-Amerika. Ini amat jelas. Mereka bukan boneka Amerika.

Amerika Syarikat masih dianggap sebagai Setan Dunia oleh kelas pemerintah di Iran. Tidak ada pemimpin politik Iran secara terang-terangan yang akan berani membuat dasar pro-Amerika. Ini kerana sebab sejarah.

Pada tahun 1953 Mohammed Mosaddeq telah menang pilihanraya dan dilantik sebagai Perdana Menteri Iran. Mosaddeq yang menjalankan dasar nasionalis telah memilik-negarakan semua telaga minyak Iran. Mosaddeq akhirnya telah ditendang keluar.

Rampasan kuasa menendang Mosaddeq ini adalah perancangan CIA. Setelah Mosaddeq ditendang, syarikat minyak Anglo-Amerika telah dibawa masuk kembali. Untuk gantinya Shah Iran - Ahmad Reza Pahlavi telah dinobatkan oleh CIA sebagai Raja sehingga tahun 1979 apabila revolusi Iran melupuskan sistem beraja di Iran.

Ini fakta sahih. Pada 4hb Jun 2009 yang lalu Barrack Obama sendiri telah mengakui perkara ini dalam ucapan di Cairo. Ucapan Obama kepada ‘warga Islam’ dibuat dalam usaha Amerika ingin berbaik kembali dengan Iran.

Mari kita memahami siapa penyokong Ahmadinejad dan siapa pula penyokong Mousavi.

Semua yang menyokong Mousavi dan Ahmadinejad adalah orang Iran – Parsi. Mereka semua beragama Islam – Syiah. Hanya wujud kumpulan kecil di beberapa wilayah seperti di Baluchistan yang bermazhab Sunni. Mereka ini amat bersedia untuk menjadi khadam Amerika. Dua minggu sebelum pilihanraya dijalankan ada letupan bom di Zehdan – ibu kota Baluchistan. Ini kerja barua Amerika. Hakikatnya mazhab Sunni amat kecil untuk dapat melakukan apa-apa perubahan sosial.

Jadi apa sebenarnya yang berlaku di Tehran?

Semua analisa akhirnya menjurus kepada kepentingan ekonomi dan kelas.

Ahmadinejad mewakili golongan bawahan – kaum tani di kampung-kampung dan kaum buruh di kota. Wajib difahami bahawa Iran bukan Tehran sama seperti Kuala Lumpur bukan Malaysia. Kaum tani dan kaum buruh ini telah dimanifestasikan melalui organisasi Basij. Basij asalnya adalah kumpulan anak-anak muda kampung dan anak muda miskin kota yang di rekrut ketika Iran dan Iraq berperang – 1980-1988.

Basij berasal dari kumpulan sukarela tetapi dua tahun lalu ianya telah diserap ke dalam pentabiran Ahmadinejad. Basij ini telah mendapat kontrak pembangunan, lesen-lesen dan menjawat lembaga-lembaga di beberapa pusat pentabiran kerajaan yang ditubuhkan oleh Ahmadinejad. Lembaga ini samalah seperti SEDC (State Economic Development Co-operation) yang ditubuhkan oleh PM Razak Hussein dahulu.

Ahmadinejad juga mendapat sokongan Pasdaran atau Soldadu Penjaga Revolusi. Ini adalah pasukan soldadu yang muncul di zaman Ayatollah Khomeini. Pasukan ini muncul sesudah revolusi untuk membersihkan tentera Iran di bawah Shah Iran yang banyak menjadi tali-barut Amerika. Pasukan Pasdaran ini mendewasa di kancah perang Iran-Iraq.

Basij dan Pasdaran kini adalah asas sokongan yang amat kuat untuk Ahmadinejad di kawasan luar bandar dan kawasan miskin dalam kota. Kuasa ekonomi baru Basij yang telah dilembagakan ini mula menghakiskan dua kumpulan kelas ekonomi lama.

Kumpulan pertama adalah kelas borjuis industri/borjuis nasional yang di wakili oleh Rafsanjani seorang multi-billionaire. Rafsanjani – wakil kelas borjuis nasional - melihat dasar Ahmadinejad telah mengetatkan lagi sekatan ekonomi yang dilancarkan oleh Amerika terhadap Iran.

Rafsanjani, towkay kacang Pastichio ini sedang melihat bertan-tan kacangnya tidak dapat di eksport. Kelas ini juga ingin berkembang luas – dari borjuis nasional untuk menjadi pemodal yang besar – multinasional - untuk mencari pasaran di dunia. Mereka juga bercita-cita untuk menjadi kelas industri tetapi telah gagal kerana wujudnya sekatan ekonomi.

Kumpulan kedua pula adalah apa yang dikenali sebagai Bazaari – ini kelas lama yang mucul dari zaman feudal. Bazaari adalah peniaga tradisional. Kalau di Malaysia mereka ini adalah peniaga-peniaga Cina yang memiliki jaringan kedai-kedai perniagaan. Bazaari muncul sebagai kelas ekonomi yang kuat kerana mereka memonopoli dan mengendalikan jual-beli di Iran. Ketika gerakan anti-Shah Iran dahulu kumpulan Bazaari ini telah menyokong Ayatollah Khomeini sehinggakan Iran menjadi lumpuh dan Ahmad Reza Pahlavi lari.

Kelas Bazaari ini juga memiliki pertalian yang amat kuat dengan struktur Syiah yang berpusat di Qom. Mereka memerlukan satu sama lain. Golongan agamawan di Qom memerlukan sokongan ekonomi/duit kelas Bazaari. Kelas Bazaari memerlukan fatwa untuk ‘menghalalkan’ apa sahaja perniagaan mereka - termasuk pelacuran yang ditafsirkan sebagai ‘nikah sementara’.

Kelas peniaga kecil ini melihat perniagaan di bazar mereka terbantut dan kelas mereka tidak dapat berkembang. Pelancung tidak masuk. Permaidani mereka tidak terjual dan tidak dapat di eksport. Kelas Bazaari/komprador - yang bergantung perniagan dengan peniaga luar - kini melihat barangan untuk jualan amat susah untuk di import atau di eksport kerana sekatan ekonomi.

Justeru amat jelas ada pertentangan kelas di sini. Ada pertentangan kepentingan ekonomi. Kumpulan borjuis lama - borjuis nasional dan kelas komprador yang di wakili oleh Rafsanjani/Mousavi sedang bertempur dengan kumpulan ekonomi kelas baru – kapitalis daulah/state capitalism - yang diwakili oleh Ahmadinejad.

Justeru ini membuktikan bahawa apa yang berlaku di Iran sekarang tidak ada sangkut paut dengan Islam, dengan mazhab Syiah atau dengan agama. Krisis di Iran hari ini adalah pertentangan kelas dan perebutan ekonomi.

Jangan kita lupa - ada lagi satu kumpulan – kumpulan monarki – saki baki dari penyokong Shah Iran - Ahmad Reza Pahlavi. Mereka ini kelas feudal yang sedang menggelabah seperti polong tidak bertuan. Tuannya – Reza Pahlavi anak Shah Iran – kini tinggal di Cairo kerana telah menjadi menantu Anwar Sadat.

Kumpulan feudal kelas elit atasan ini bersarang di bahagian utara Tehran – kawasan ini samalah seperti Bukit Kenny di Kuala Lumpur atau di Country Height Kajang. Kumpulan ini berkumpul di bawah TV satelit yang dimiliki oleh Reza Pahlavi yang dipancar dari Cairo.

Kelas feudal dan elit atasan – kumpulan Gucci dan Louis Vuitton - ini tidak ada sangkut paut dengan demokrasi. Mereka ini lintah darat yang hidup senang lenang bershopping di hujung minggu di London dan Paris di zaman Shah Iran dahulu. Mereka ini sama dengan kaum keluarga anak beranak kroni-kroni Mahathir Mohamad. Mereka melihat ‘gaya hidup’ mereka menjadi kacau bilau sesudah berlakunya revolusi tahun 1979.

Jadi siapakah pula yang berdemo di jalan raya yang membantah keputusan pilihanraya?

Semua yang kepentingan ekonomi dan gaya hidup mereka tidak selari dengan dasar Ahmadinejad sedang turun bermandi-darah di jalan raya. Mereka bersatu di bawah bendera dan slogan - Undur-Undur Ahmadinejad. Ini sama seperti slogan di zaman Reformasi (1998) ketika rakyat satu Malaysia berdemo untuk menjatuhkan Mahathir Mohamad.

AWAS! Dari semua kumpulan ekonomi ini adalah lagi satu kumpulan. Ini kumpulan anak-anak muda yang tidak memiliki kepentingan ekonomi atau kelas. Mereka inilah yang gugur di tembak oleh peluru Basij. Mereka inilah yang sedang bertempur dengan tentera dan polis rusuhan.

Anak- anak muda ini datang dari semua kelas. Mereka adalah kaum pelajar muda. Mereka juga adalah ‘penanam anggur’ yang tidak memiliki kerja dan masa depan. Mereka melihat Ahmadinejad sebagai musuh yang mengganggu-gugat gaya kehidupan muda mereka. Mereka adalah Mat Rock dan Mat Kool dari utara Tehran. Mereka juga adalah Mat Rempit dari kawasan miskin wilayah selatan Tehran.

Mereka sedang mendobrak segala nilai-nilai kolot yang menyusahkan kehidupan harian mereka. Mereka adalah generasi Myspace, Facebook dan Friendster. Ibu bapa mereka adalah Siti Internet dan Lebai Google. Bapak saudara mereka adalah Blogspot Dot Com. Mereka adalah pembuat filem di YouTube. Mereka adalah wartawan Sms dan Twitter. Mereka bermazhab Ali Shahriati. Mereka menganuti fahaman Mao, Lenin, Bakunin dan Che.

Seperti biasa anak-anak muda inilah yang menjadi barisan hadapan untuk membawa perubahan. Mereka jugalah yang sedang bermandi-darah membuka harapan baru untuk Iran. Mereka ingin membebaskan Iran dari theocracy yang kolot.

Hakikatnya dasar Ahmadinejad dan dasar Mousavi tidak ada bezanya. Dasar ini ingin men'tua'kan naluri muda mereka. Di tahap sejarah pada June 2009 ini - anak-anak muda ini sedang berpayung di bawah lambang Mousavi kerana pekikan perjuangan yang dilaungkan oleh Mousavi.

Untuk sementara waktu ini Ahmadinejad adalah Presiden Iran yang terbukti telah menang dalam pilihanraya. Ahmadinejad akan terus berkuasa. Amerika Syarikat di bawah Barrack Obama – untuk kepentingan berjangka panjang - tidak akan menggugat Iran.

WASPADA! Iran memiliki tradisi perjuangan dan tamadun yang lama. Iran memiliki tradisi Tudeh yang memimpin kaum buruh di industri minyak. Iran memiliki tradisi Fedayeen Al-Khalaq. Iran memiliki tradisi Mujahideen Al-Khalaq. Iran memiliki tradisi tempur Syiah yang dinobatkan sebagai Islam Kiri oleh Ali Shahriati. Tiga kumpulan inilah penyusun dan penjana awal revolusi Iran 1979 dahulu sebelum di ‘hijack’ oleh Ayatollah Khomeini yang dilihat oleh kuasa Anglo-Amerika pada ketika itu sebagai kuda yang lebih selamat.

Akhirnya anak-anak muda ini akan mengundur dan menilai kembali garis perjuangan mereka. Yakinlah dalam masa yang tidak lama akan muncul kembali satu pertempuran yang lebih tersusun. Anak-anak muda di mana sahaja di dalam dunia ini akan berkumpul apabila terdengar pekikan perjuangan. Ini adalah sifat dan naluri anak muda. Anak –anak muda di Iran memiliki waktu untuk menunggu. (TT)

(Tulisan ini boleh diambil untuk membuat yang baik)

P1 Wimax In Ipoh

Baru bertukar kepada P1 Wimax. Melarikan diri dari Celcom 3G. Sedang test-drive. Setakat ini, service ok. Tak taulah masa akan datang. Diharap coverage P1 akan diluaskan ke seluruh Ipoh dan menjadi 'pemecah dominasi' ISP (Internet Service Provider) yang lain dan tidak bersikap seperti ISP lain yang sememangnya tidak 'mesra pelanggan' tetapi 'mesra keuntungan' (macam kapitalis) dan selalu 'shuffle' (memperkotak-katikkan) kelajuan internet pelanggan. ^_^

(Klik untuk besarkan)

Maklumat : P1 Wimax (Link)

Blog Ini Sokong Husam Musa

Husam: Lupakan sahaja rundingan PAS-Umno

Hafiz Yatim | Jun 5, 09 3:51pm

Naib Presiden PAS, Husam Musa sekali lagi menegaskan bahawa PAS tidak harus sekali-kali berunding dengan Umno 'yang kini dalam keadaan lemah".

"Saya harap mesej ini diterima bahawa parti ini tidak harus sekali-kali berunding dengan Umno yang merupakan musuh politiknya," katanya kepada pemberita di muktamar parti itu di Shah Alam hari ini.

Katanya, selagi ia menguntungkan Umno, PAS tidak sepatutnya bekerjasama dengan parti tersebut.

Jika tidak, tegasnya, PAS akan dilihat seperti membantu Umno yang kini dalam keadaan yang lemah.

Husam bertanding jwatan timbalan presiden, berdepan dengan penyandangnya, Nasharuddin Mat Isa dan seorang lagi pencabar, Mohamad Sabu yang juga naib presiden.

Proses pengundian bermula jam 3.50 petang ini dan sedang berjalan. Ia jangka berlanjutan sehingga ke malam.

Menurut pengerusi pemilihan, Datuk Mustafa Ali, pengiraan akan dijalankan hari ini, tetapi keputusannya akan diumumkan pagi esok.

malaysiakini.